SUBANG JAYA – Ratu boling negara, Sin Li Jane menamatkan kemarau gelaran dengan penuh bergaya selepas menjulang kejuaraan Terbuka Antarabangsa Malaysia 2025 buat kali kedua dalam karier gemilangnya di Sunway Megalanes, Subang Jaya hari ini.
Pemain berusia 32 tahun itu, tampil dengan prestasi luar biasa dalam final stepladder wanita, tenang mengawal tekanan sambil membuktikan kelas tersendiri apabila mencatat jatuhan 222 pin.
Kemenangan itu menyaksikan dia menundukkan pencabar utama dari Singapura, New Hui Fen (198 pin) dan rakan senegara daripada skuad pelapis, Adelia Nur Irwan Syazalee (206 pin).
Ia bukan sahaja menyaksikan Li Jane kembali mengungguli kejohanan selepas sembilan tahun, malah mengulangi detik manis pernah diciptanya pada edisi 2016.

Bagaimanapun, di sebalik senyuman kemenangan, tersimpan kisah duka yang menyentuh hati.
Gelaran kali ini didedikasikan khas buat mendiang datuk tercinta yang meninggal dunia hanya beberapa hari sebelum kejohanan bermula iaitu insan yang selama ini menjadi tunggak semangat dan penyokong nombor satu dalam hidupnya.
“Ini kemenangan yang sangat emosional. Saya baru kehilangan datuk yang amat rapat dengan saya. Sebelum saya kembali ke Kuala Lumpur dari Ipoh, saya sempat berjanji kepada arwah untuk lakukan yang terbaik dan cuba menang di sini.
“Dia sentiasa ada di sisi saya sejak kecil, dan kemenangan ini adalah untuknya,” katanya selepas tamat perlawanan.

Berdepan Hui Fen yang juga seteru lama di pentas antarabangsa, Li Jane mengakui ia bukan tugas mudah, namun pengalaman dan ketenangan menjadi kunci kejayaan di saat genting.
“Saya sudah banyak kali bertemu Hui Fen, dia sangat konsisten. Jadi, saya tak mahu terlalu fikirkan siapa lawan, saya hanya fokus pada balingan dan permainan sendiri,” ujarnya ringkas.
Dengan momentum luar biasa, Li Jane kini bersedia meneruskan misi di pentas antarabangsa apabila bakal beraksi di Kejohanan Sonic International Classic di Singapura dari 23 hingga 26 April, sebelum terbang ke Amerika Syarikat untuk mempertahankan gelaran dalam Jelajah Profesional Wanita (PWBA). – KOSMO! ONLINE