LENGGONG -Setiap calon hanya akan menerima satu tawaran sahaja sama ada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mulai pengambilan Januari 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap calon bagaimanapun masih boleh memohon untuk memasuki kedua-dua sekolah tersebut namun hanya akan menerima salah satu sahaja.
Katanya, penyelarasan akan dilakukan oleh pihak kerajaan di mana misalnya calon yang sudah mendapat tawaran memasuki MRSM tidak lagi akan menerima tawaran SBP pada kemudian hari.
“Apabila MRSM memberikan surat tawaran terlebih dahulu kepada pelajar, mereka terima. Tetapi apabila menerima tawaran yang kedua (SBP) kemudiannya, mereka beralih arah memasuki SBP.
“Kedua-duanya adalah merupakan institusi pendidikan kerajaan. Oleh demikian saya akan cadangkan supaya dilakukan penyelarasan. Hanya satu sahaja tawaran yang akan ditawarkan oleh kedua-dua institusi,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Wacana Inspirasi di MRSM Lenggong di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE