PETALING JAYA – Panggilan sayu seorang kanak-kanak yang menyebut ‘ayah-ayah’ sewaktu majlis pengebumian bapanya meruntun hati orang ramai yang berada di tanah perkuburan.
Malah, suasana hiba itu juga mengundang sebak dalam kalangan pengguna di media sosial apabila klip video terbabit dikongsi di aplikasi TikTok oleh seorang pengguna dikenali sebagai @hatiminttr.
Berdasarkan klip video terbabit, kelihatan seorang kanak-kanak bersama yang juga anak arwah Koperal Azfar Arshad beberapa kali memanggil ayahnya sambil memeluk Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Turut bersama mereka seorang lagi kanak-kanak yang juga anak arwah Koperal Azfar.
“Saya cuba kuat tahan air mata saya atas pemergian sabahat baik saya ini. Tapi saya sedar air mata saya ini jatuh juga sebab melihat kedua-dua anak arwah memeluk YDH Datuk PJP Sabah sambil memanggil ayah.
“Memang hancur hati melihat kedua-dua beradik ini, semoga roh arwah sahabatku ditempatkan bersama kalangan orang-orang beriman,” tulis @hatiminttr.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna telah meninggalkan pelbagai komen dan ucapan takziah kepada keluarga arwah.
“Semoga Allah sentiasa memberi pelindungan dan kerahmatan buat isteri, anak-anak serta seluruh ahli keluarga arwah Azfar,” doa @Rahimahsalleh.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @Azuan Aziz.
“Hiba bila anak-anak.arwah panggil ayah, sedih semoga arwah di tempatkan bersama orang orang beriman diterima segala amal kebajikanya. Al-Fatihah,” ujarnya.
Terdahulu, menerusi perkongsian di laman Facebook Polis Sabah, majlis pengebumian tersebut disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mengkabong, Tuaran, Sabah.
Difahamkan, arwah Azfar meninggal dunia selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Tuaran. – KOSMO! ONLINE
@hatiminttrSaya cuba kuat tahan air mata saya atas pemergian shbt sy ni tapi tanpa sy sedari air mata saya jatuh juga sebab melihat kedua2 anak arwah memeluk YDH datuk PJP SABAH sambil memanggil ayah 😭😭😭 memang hancur hati melihat kedua beradik ni semoga roh arwah sahabatku di tempatkan bersama sama di kalangan orang2 yang beriman amin Al fatihah♬ suara asli – nissa sabyan fanbase