KUALA LUMPUR – Satu sidang akhbar khas akan dilakukan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi menjawab isu tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu di sini pada minggu hadapan.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, segala isu berbangkit mengenai hal tersebut akan dijawab dalam sidang akhbar terbabit itu nanti.
“Sungai Baru ini saya akan bagitau dalam sidang akhbar khas itu nanti, NGO (Pertubuhan bukan kerajaan) yang datang sini mereka tidak faham. Saya akan jelaskan betul-betul supaya semua faham.
“Itu saya katakan, saya pernah berpesan waktu awal-awal jadi wakil rakyat dulu sebelum saya direhatkan, saya sudah pesan kepada orang Kampung Baru jangan tandatangan persetujuan itu, tetapi mereka nak tandatangan.
“Jadi dalam sidang akhbar itu nanti, saya nak jelaskan semuanya agar semua penduduk terlibat faham secepat mungkin, minggu depan saya jemput semua,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Titiwangsa dan Kementerian Perladangan dan Komoditi di Pintu Gerbang Kampung Baru di sini hari ini.
Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan untuk terus memperjuangkan hak milik tanah penduduk Kampung Sungai Baru yang mempunyai geran sah dan merupakan warisan masyarakat Melayu Islam di kawasan itu.
Pengerusi Portfolio Wilayah Persekutuan PN, Datuk Azman Nasrudin berkata, pihaknya akan membawa isu itu secara konsisten ke Parlimen serta terus memberi tekanan kepada kerajaan agar tidak membenarkan sebarang unsur pencerobohan hak melalui agenda kapitalis.
Sementara itu, dalam majlis rumah terbuka tersebut, diangkakan lebih 20,000 rakyat kawasan Parlimen Titiwangsa dijangka hadir bagi memeriahkan majlis terbabit yang berakhir pada pukul 3 petang ini. – KOSMO! ONLINE.