MIRI – Mayat pembantu pengurusan murid di SK Long Jekitan yang hilang bersama anak perempuannya akibat dihanyut arus sungai di Long Jekitan, Baram dekat sini akhirnya ditemukan setelah empat hari pencarian.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mayat lelaki berusia 46 itu dijumpai di kawasan Sungai Sengayan kira-kira pukul 2 petang semalam.
“Mayat mangsa dijumpai pada jarak tujuh kilometer dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan seterusnya dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.
Mangsa bersama anak perempuannya yang berusia sembilan tahun dilaporkan hilang pada Isnin lalu setelah dihanyut arus sungai ketika cuba menyeberangi Sungai Sengayan menggunakan sebuah pacuan empat roda.
Sehari selepas kejadian, mayat anaknya kemudian dijumpai oleh penduduk kampung yang melakukan pencarian awal sebelum ketibaan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) disebabkan jarak ke lokasi kejadian yang sangat jauh, dianggarkan antara 10 hingga 12 jam melalui jalan balak dan sungai. – KOSMO! ONLINE