IBARAT drama saluran televisyen yang diulang siar tanpa jemu, begitulah dunia seni tanah air, penuh plot, babak dan skrip yang tak pernah usang ditelan waktu.
Ada sahaja cerita sensasi menggegar industri hiburan baik menerusi penceraian, najis dadah, mahupun keganasan rumah tangga.
Saban minggu, masyarakat dihidangkan dengan drama artis meliputi pelbagai genre, dari tangkap khalwat sehingga babak air mata persis naskhah sinetron 200 episod.
Seperti deja vu yang tak diundang, skrip lama kembali dimainkan. Bezanya, kali ini mungkin lebih rencam dengan pelakon tambahan, pengkhianatan, dan plot twist yang membuatkan khalayak ternganga dan hilang selera.
Minggu ini, nama Zahnita Wilson kembali bergema. Bukan kerana kejayaan mahupun karya seni, tetapi rentetan kisah peribadi yang semakin mengelirukan dan mencuit emosi khalayak.
Menggemparkan apabila seorang wanita bernama Nur Hanisah mengakui bekas rakan kongsi perniagaan bekas model popular itu muncul dengan pelbagai dakwaan mempertikaikan keabsahan kisah duka yang pernah mengejutkan ramai sebelum ini.
Wanita itu mendakwa dirinya antara insan terawal menghulurkan bantuan kewangan buat Zahnita sewaktu aktres berkenaan cuba keluar daripada perkahwinan didakwa penuh penderaan.
Cerita dongeng?
Namun, setelah sekian lama bersama, dia seolah-olah dapat menghidu agenda terselindung di sebalik tumpahan air mata yang ditonjolkan sebelum ini.
Tidak cukup dengan pendedahan mengejutkan, Hanisah mengakui tidak gentar bakal menerima surat saman daripada Zahnita jika benar dirinya tersalah langkah.
Malah, dia berharap Zahnita segera sedar sebelum kehilangan segala-galanya akibat ego dan naratif ‘dongeng’ ciptaan sendiri.
Selepas diasak kanan dan kiri, pemilik nama sebenar Zahnita Dorothy Hussein Wilson itu akhirnya bersuara, dia mengakui mengalami keletihan melampau bukan hanya fizikal, malah turut emosi dan mental turut terbelit.
“Saya berada di ambang keletihan melampau (burnout). Saya letih secara mental, emosi dan fizikal. Berilah saya ruang untuk berehat sebentar,” katanya.
Enggan meleret dengan penjelasan yang mungkin mengeruhkan keadaan, Zahnita, 40, memilih untuk bersuara ketika bertemu media di Mahkamah Syariah Kuantan, semalam.
“Apa yang dia (Hanisah) cakap adalah fitnah. Tunjuk bukti. Kasihanlah kalau saya saman. Dia sudah ada anak,” katanya.
Sebelum itu, Zahnita memuat naik salinan laporan kesihatan daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dipercayai bagi menyokong dakwaan kecederaan fizikal dialami.
Dia juga turut mendedahkan mesej perbualan bersama peguam yang memaklumkan pihak pembelaan mahu memfailkan representasi bagi menggugurkan atau meminda pertuduhan berkaitan keganasan rumah tangga.
Bagaimanapun, hanya beberapa hari selepas itu, pelakon Kuliah Cinta itu muncul kembali dengan apron dan loyang painya.
“Saya kembali. Terima kasih semua yang menyokong. Pai 100 peratus air tangan supermodel Malaysia,” katanya.
Latar muzik Titanium oleh Sia seolah-olah menjadi simbol ketabahan luar biasa yang mahu ditunjukkan.
Jaga aib
Menariknya, di sebalik semua ini, suaminya, Abd. Zackery Ghouse Abd. Gafor lebih selesa berdiam, namun membuka sedikit ruang kepada penulis.
Meskipun enggan terlibat, nadanya jelas sinis tetapi tenang.
“Apa yang boleh saya katakan, saya sudah berkali-kali beritahu sebelum ini, mungkin dengan apa yang berlaku kali ini, Tuhan nak tunjuk.
“Saya tak kenal sangat kawan dia itu. Tapi bila semua ini keluar, saya rasa macam, oh okey, mungkin ada sebab kenapa benda ini jadi.
“Semua yang berlaku ini tidak melibatkan saya.
“Apa pun Zahnita masih sah menjadi isteri saya. Saya pun tidak mahu ceritakan apa-apa sebab malas nak buka aib orang, tiada guna,” tutupnya.
Kini, segala-galanya menjadi kekusutan yang sukar dirungkaikan.
Cerita yang dahulunya mengundang simpati, kini sekadar perbualan sinis dalam perbualan WhatsApp dan komen Instagram.
Semalam, Zahnita hadir ke Mahkamah Syariah Kuantan bagi sebutan semula melibatkan tiga kes iaitu tuntutan perceraian, permohonan perintah injunksi terhadap gangguan dan tuntutan hadanah atau hak lawatan serta hak bermalam terhadap anak-anaknya.
Moga yang baik-baik untuk semua pihak dan kebenaran dapat dirungkai.