TERENGGANU FC (FC) mahu menutup tirai Liga Super dengan meraih kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.
Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, kemenangan tersebut bakal menjadi penamat bermakna di hadapan penyokong tegar sendiri.
“Kami mahu mendedikasikan kemenangan tersebut mahu buat penyokong yang setia menyokong kami selama ini,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Skuad Sang Penyu tidak mampu lagi mengejar Kuching City FC di tangga keempat apabila ketinggalan empat mata dengan baki satu perlawanan.
Begitupun, kedudukan TFC di tempat kelima selamat apabila Kuala Lumpur City FC (KL City) yang berada di tangga keenam juga secara matematik tidak berupaya lagi untuk memintas.
Badrul Afzan berkata, anak buahnya telah diingatkan agar tidak mensia-siakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri sekali gus mengecewakan penyokong tegar.
“Kita fokus memperkukuhkan pasukan, namun pada masa sama tidak sesekali memandang mudah kemampuan KDA. Biarpun dilanda masalah, mereka dibarisi pemain muda yang bersemangat dan memiliki kualiti tersendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Badrul Afzan menyeru penyokong tegar TFC memenuhi stadium pada malam esok memandangkan tiket perlawanan terakhir Liga Super itu diturunkan kepada RM5 selain kemasukan percuma bagi murid dan pelajar sekolah. – KOSMO! ONLINE