LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mengkritik ketumpulan jentera serangan selepas tewas 1-2 kepada Legia Warszawa pada aksi suku akhir kedua Liga Konferens Eropah di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Bagaimanapun, The Blues bernasib baik apabila kekalahan itu tidak menjejaskan mereka untuk layak ke separuh akhir kejohanan peringkat ketiga Eropah itu dengan keputusan agregat 4-2.
Kata Maresca, trio serangan diketuai Cole Palmer, Nicolas Jackson dan Christopher Nkunku gagal mempamerkan sentuhan penyudah yang diharapkan dengan gol pasukan hanya diraih menerusi pemain pertahanan, Marc Cucurella.
“Saya tidak faham kenapa gagal menyudahkan peluang-peluang mudah di depan gol. Jika dilihat, ketika saingan baru lima minit, kami sudah ada dua peluang keemasan menerusi Palmer dan Nkunku.
“Saya harap kemarau gol mereka akan berakhir tidak lama lagi terutamanya melibatkan Palmer dan Jackson kerana mereka berdua adalah pemain penting buat pasukan,” kata pengendali dari Itali itu.
Sementara itu, Maresca memahami tindakan penyokong yang membuat keputusan untuk mengkritik pemain secara terbuka selepas wisel penamat.
“Tiada siapa gembira apabila pasukan tewas tetapi selepas menang 3-0 pada aksi pertama, saya cuba membuat rombakan dalam pasukan. Secara peribadi, reaksi penyokong adalah normal tetapi apa yang penting kami berjaya mara,” katanya. – AGENSI