fbpx

Isu Jalur Gemilang: Kertas siasatan dirujuk kepada AGC – Razarudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin

PETALING JAYA – Kertas siasatan berhubung kes penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap oleh sebuah akhbar berbahasa Cina dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) semalam untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat semalam seramai 54 individu dirakam keterangan berhubung isu sama.

“Masih terdapat beberapa saksi lagi akan dipanggil (beri keterangan) mengikut keperluan siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Razarudin, pihak pengurusan akhbar itu dalam keterangannya memaklumkan insiden tersebut berlaku disebabkan kesilapan teknikal semasa proses penyiaran artikel.

Insiden pada Selasa lalu itu mencetuskan kemarahan orang ramai apabila muka hadapan akhbar Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap sempena liputan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia selama tiga hari baru-baru ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut bertitah menegur pihak pengurusan dan jabatan editorial akhbar itu yang sepatutnya lebih peka dan teliti dalam menyemak bahan sebelum dicetak dan disiarkan.

Susulan itu, pihak akhbar tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan menegaskan bahawa kesilapan tersebut adalah tidak disengajakan.

Pada Khamis lalu, Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI