IPOH – Perikatan Nasional (PN) memohon kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak agar tempat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditukar posisinya.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu pejabatnya telah menerima surat permohonan yang ditandatangani oleh Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Rabu lalu ketika Persidangan DUN Perak sedang berlangsung.
“Ya, pejabat saya menerima surat tersebut dan saya telah minta Setiausaha Dewan untuk membalasnya. Kita akan lihat pelbagai pertimbangan tentang permintaan itu.
“Kedudukan tempat duduk ini memang ditentukan mengikut budi bicara oleh Speaker DUN berdasarkan Perintah-Perintah Tetap 2(2) dan 2(3) Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohammad Zahir berkata, telah menjadi kebiasaan kedudukan ADUN di dalam DUN mengambil kira senioriti atau merit tertentu seperti tempoh berkhidmat, pengalaman sebagai exco kerajaan negeri dan kedudukan dalam parti.
“Jika perubahan tersebut dipertimbangkan ia akan berlaku pada sidang DUN Perak tempoh ini yang akan bersambung lusa,” katanya.
Difahamkan perubahan tempat duduk Zainol Fadzi dicadangkan dengan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi.
Pada Mac lalu, Zainol Fadzi melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak selepas hampir enam tahun memegang tanggungjawab itu.
Zainol Fadzi yang merupakan Ketua Whip Pembangkang sebelum ini duduk bersebelahan dengan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria dan ADUN Selama, Mohd. Akmal Kamarudin.
Kedudukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu ditentukan berdasarkan kedudukan paling kanan selepas Ketua Pembangkang kerana telah berkhidmat sebagai ADUN selama empat penggal dari 2008 sehingga kini.
Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak juga pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak selama tiga penggal sehingga 2022. – KOSMO! ONLINE