BINTULU – Dua maut manakala dua lagi parah selepas kereta Proton Saga dinaiki mereka dirempuh dari belakang oleh Toyota Hilux yang dipandu warga China di lampu isyarat Paragon di sini malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 11.54 malam tadi dengan dua mangsa yang maut adalah wanita berusia 34 dan 44 tahun.
“Kedua-duanya tersepit di bahagian tempat duduk belakang Proton Saga terbabit yang remuk. Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, dua mangsa yang cedera parah adalah lelaki berusia 24 tahun dan remaja perempuan warga Indonesia berusia 19 tahun, dengan kedua-duanya telah dihantar ke Hospital Bintulu.
Bagaimanapun, warga China yang memandu Toyota Hilux terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE