fbpx

Azlan Shah keluar persaraan, sertai ARRC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZLAN SHAH dianggap antara pelumba negara yang penuh pengalaman bersaing di pentas ARRC.

SELEPAS mengumumkan persaraannya musim lalu, pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman membuat keputusan mengejut apabila kembali menyertai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025.

Azlan, 40, akan mengemudi pasukan baharu dari Malaysia, A1 Energy BMW Racing Team, yang turut mempertaruhkan juara Supersport 600 musim lalu dari Thailand, Apiwath Wongthananon.

Bekas juara ASB1000 musim 2019 itu berkata, keputusan untuk menarik semula persaraannya selepas menerima tawaran meyakinkan daripada pasukan A1 Energy yang turut menyediakan jentera terkini BMW M1000RR.

“Musim lalu saya hadapi banyak kesukaran, bukan sahaja dari segi keputusan di litar, malah turut menjejaskan keadaan mental sebagai pelumba. Saya hampir melepaskan semuanya.

“Namun, apabila ditawarkan peluang bersama A1 Energy, disokong oleh BMW dan Alpha Racing, saya rasa inilah masanya untuk kembali bangkit. Saya mahu berikan cabaran kepada pelumba-pelumba muda dan bantu pasukan capai kejayaan,” katanya.

Rakan sepasukannya, Apiwath turut menyatakan kesediaan untuk kembali ke kelas ASB1000 selepas menjuarai Supersport 600 musim lalu.

“Saya bersemangat untuk mencabar kejuaraan. Ini kali pertama saya menunggang BMW, jadi saya akan belajar daripada Azlan yang lebih berpengalaman. Sasaran saya untuk menjadi juara ASB1000 tahun ini,” katanya.

Menurut prinsipal pasukan, Noor Hirman Mohd. Esa, penyertaan mereka di ARRC adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuh jenama A1 Energy dalam sukan permotoran serantau.

“Kami komited untuk menjadikan A1 Energy BMW Racing Team sebagai pasukan yang bukan sahaja bersaing, tetapi juga memimpin dan menetapkan penanda aras baharu dalam kejuruteraan, pembangunan pelumba serta pengurusan profesional,” katanya.

Kejuaraan ARRC 2025 yang akan membuka tirainya di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand dari 25 hingga 27 April ini, dijangka menjadi medan persaingan sengit dengan penyertaan pasukan dan pelumba ternama dari seluruh Asia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI