KUALA LUMPUR – Desas-desus mengenai perjalanan karier jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang akhir terjawab apabila pemegang pingat perak Sukan Olimpik itu sah beralih sebagai pelumba trek profesional secara penuh bermula tahun ini.
Pelumba berusia 37 tahun itu, yang sebelum ini mengumumkan persaraan selepas Olimpik Paris 2024, telah membuat keputusan untuk keluar daripada persaraan sejurus merasakan fizikal dan mentalnya masih mampu untuk terus berkayuh.
Langkah yang diambil Azizulhasni untuk bergerak secara profesional bersama Team Azizul turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila beliau menerima geran individu bernilai RM200,000 sehingga 2026 daripada Majlis Sukan Negara (MSN).
Azizulhasni yang dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu berkata, antara sebab beliau kembali berhasrat menamatkan karier dengan penuh bermakna, khususnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

“Ramai yang mengharapkan saya kembali untuk menebus kekecewaan di Olimpik Los Angeles 2028, tetapi kalau tanya saya, memang saya tidak fikir ke LA28 lagi. Cuma, buat masa sekarang, apa yang boleh saya beritahu, saya mahu fokus kepada tempoh dua tahun terlebih dahulu.
“Antara sebabnya ialah pengakhiran di Paris itu bukanlah satu penamat yang manis bagi karier saya dan perkara itu mengganggu fikiran saya selama ini.
“Saya membina karier saya dengan baik dan segala pencapaian, kemenangan, segala kesusahan, kepayahan serta dugaan saya lalui dengan tabah tetapi penutupnya (Olimpik Paris) tidak seperti yang saya harapkan.
“Sebab itu saya buat keputusan yang sukar ini, untuk kembali dengan harapan agar di Sukan Asia mahupun Sukan Komanwel nanti, ada satu pengakhiran yang manis sekali gus saya dapat ucapkan selamat tinggal dengan baik,” katanya ketika ditemui di MSN, Bukit Jalil hari ini.
Geran bernilai RM200,000 yang bakal diterima Azizulhasni adalah sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2026.
Geran tersebut merangkumi perbelanjaan pengurusan jurulatih, latihan dan pertandingan, pengurusan pusat, peralatan latihan serta sains perubatan sukan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menjelaskan, kementerian bersedia memberikan segala bantuan yang diperlukan untuk menjayakannya.
“Azizulhasni akan terus mengikuti program latihan sebagai seorang atlet profesional. Beliau juga akan menyertai perlumbaan-perlumbaan yang diiktiraf UCI, mewakili ‘continental track team’, Team Azizul, yang berdaftar dengan UCI.
“Dengan keputusan beliau untuk meneruskan latihan dan bertanding, Azizulhasni akan berusaha mempersiapkan dirinya bagi mengejar matlamat di temasya Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun serta Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.
“Keputusan itu dibuat Azizulhasni kerana beliau mahu Kementerian, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), dan agensi utama lain seperti MSN serta Institut Sukan Negara (ISN) memberikan tumpuan kepada pembangunan pelumba-pelumba lain seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Ridhwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis, Izzah Izzati Mohd. Asri dan Nur Alyssa Farid,” kata Hannah. -KOSMO! ONLINE