KUANTAN – “Fakta itu dia dapat daripada mana saya nak tahu, tunjukkan bukti.”
Demikian soal bekas peragawati, Zahnita Wilson ketika ditanya mengenai dakwaan bekas rakan perniagaannya dikenali Neysahz.
Wanita itu menyatakan perkongsian Zahnita yang juga pelakon mengenai masalah yang dihadapinya adalah palsu semata-mata.
Zahnita berkata, dakwaan Neysahz bahawa dia memutar belit fakta mengenai masalah yang dihadapinya merupakan satu fitnah.
Katanya, dia agak terkejut dengan kenyataan tersebut memandangkan kali terakhir mereka berhubung pada Februari lalu selepas dia menyiapkan hantaran barangan yang diminta wanita tersebut.
Zahnita memaklumkan, dia tidak pernah bercerita seperti didakwa Neysahz dan percaya dakwaan yang dibuat wanita itu diperoleh daripada satu pihak yang enggan didedahkan pada masa ini.
“Apa yang dia cakap adalah fitnah, tunjuk bukti dan dia minta saya saman. Kesianlah kalau saya saman, dia sudah ada anak.
“Jadi saya tidak mahu menyerangnya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah di sini hari ini.
Zahnita hadir bagi sebutan semula tiga kes melibatkan dirinya iaitu tuntutan atau permohonan perceraian, permohonan perintah injunksi terhadap gangguan dan tuntutan hadhanah atau hak lawatan serta bermalam anak-anaknya.
Mahkamah menetapkan 19 Mei ini bagi mendengar sebutan semula kes perceraian dan injunksi, manakala 14 Julai pula untuk kes hadhanah.
Zahnita memberitahu, dia mengenali Neysahz pada Oktober lalu apabila wanita itu menghubunginya untuk menjadi stokis pai buatannya. Katanya, dia berbesar hati berkongsi rezeki bersama wanita tersebut.
Pada 2 Disember lalu, Zahnita berkongsi foto di akaun Instagramnya yang memaparkan bahagian mata kirinya lebam.
Dakwa aktres itu, punca kecederaan tersebut adalah disebabkan dibelasah suami sendiri selain mengatakan lelaki itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Susulan itu, pada 4 Disember lalu, suami Zahnita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan mencederakan isterinya dan kes dadah. Bagaimanapun lelaki itu mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Zahnita turut memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 3 Disember lalu.
Pada Mac lalu, suami Zahnita memaklumkan pihak mahkamah menggugurkan pertuduhan mendera empat anaknya selain mendapat hak lawatan dan bermalam.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2005 dan dikurniakan empat anak berusia empat hingga 18 tahun.- KOSMO! ONLINE