KUALA LUMPUR – Pengarah filem Aziz M. Osman tidak berniat menyindir sesiapa meskipun filem komedi epik terbaharunya, 6 Jilake sarat unsur sinikal.
Aziz berkata, dia hanya mengangkat kisah realiti yang berlaku dalam kehidupan hari ini dan digarap dalam filem komedi aksi itu.
“Saya utamakan elemen hiburan dalam filem ini. Saya tidak mempunyai sebarang niat untuk menyindir sesiapa.
“Kebetulan ketika filem ini keluar, skrip seolah-olah sama dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita,” katanya.
Berkenaan jalan cerita yang menyentuh mengenai sejarah penjajahan Belanda di Perak yang pada masa sama mencuri hasil galian penduduk tempatan juga dilihat mencerminkan politik dunia hari ini.
Aziz bagaimanapun sudah bersedia untuk menghadapi kecaman atas terjemahan penonton terhadap ‘sindiran halus’ dalam filem berkenaan.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada penonton untuk menilai dan mentafsir sama ada mereka ingin mengaitkannya dengan politik atau apa-apa jua.
“Ironinya, ketika Presiden Trump mengumumkan hasrat untuk menjadikan Gaza sebagai sebuah bandar, saya terus menghubungi penerbit, Shasa Aziz dan berkata, ‘ini seolah-olah seperti skrip kita’.
“Memang satu kebetulan. Tiada sebarang niat tersirat. Jika ada yang mahu mempersoalkan atau mengecam saya bersedia untuk tidak membuka sosial media,” katanya dalam tawa.
Filem 6 Jilake yang bakal menemui penonton pada 24 April ini dibintangi Amerul Affendi, Saiful Apek, Bell Ngasri, Asmidar, Kazar Saizi, Kamarool Hj Yusof, Jalil Hamid, Wan Raja, Mamak Puteh dan Wan Gegau.
Turut membuat kemunculan secara kameo adalah Datuk Fauziah Nawi, David Teo, Remy Ishak, Ayda Jebat, Amy Nurtinie dan Aziz sendiri. – KOSMO!ONLINE