TAPAH – Kerajaan tidak teragak-agak untuk menarik semula misi bantuan kemanusiaan di Myanmar sekiranya didapati terdapat situasi yang membahayakan keselamatan pasukan perubatan.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan dan meletakkan perkara itu sebagai keutamaan yang perlu diberi perhatian kerajaan Myanmar.
Malah katanya, negara berkenaan juga telah diberi kata dua bahawa penarikan semula misi itu turut membabitkan negara anggota ASEAN lain.
“Saya sendiri minta pihak Myanmar supaya ‘stand down’, jangan pada ketika negara menghadapi bencana, mereka masih lagi mahu bergaduh.
“Jika saya dengar dan mendapati wujud isu-isu yang memudaratkan keselamatan pasukan perubatan di sana, kita tidak akan teragak-agak untuk menarik mereka.
“Saya telah beritahu perkara ini kepada rakan sejawat negara ASEAN melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Jangan sesekali untuk mereka tidak mempedulikan keselamatan pasukan perubatan di sana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni orang ramai di Kampung Pasir, Temoh di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia menghantar pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Myanmar hari ini bagi melaksanakan Operasi Bantuan Kemanusiaan (Operasi Starlight III) susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.
Pasukan perubatan itu disertai 69 orang terdiri 16 pegawai dan 53 anggota daripada pelbagai kepakaran antaranya Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST) Hospital Medan Malaysia, elemen dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bersama pasukan keselamatan. – KOSMO! ONLINE