TOKYO – Sebuah syarikat rakaman Jepun dikecam selepas mengumumkan akan mengeluarkan album cakera padat (CD) seorang penyanyi yang telah meninggal dunia termasuk gambar tanpa seurat benang mendiang.
Gabenor Wilayah Kumamoto, Takashi Kimura mengecam keputusan itu sebagai perbuatan yang tidak boleh dimaafkan di sebuah laman blog kelmarin.
Penyanyi berkenaan, Aki Yashiro berasal dari rantau Kumamoto.
CD mendiang akan diterbitkan oleh syarikat rakaman itu Isnin ini. Ia bakal menampilkan dua gambar tanpa seurat benang Yashiro yang meninggal dunia pada usia 73 tahun dalam 2023 sebagai ‘bonus’.
Menurut syarikat berkenaan, gambar itu dirakam oleh pasangan mendiang. Ketika itu, Yashiro berusia dalam lingkungan 20-an.
“Jika ini bukan perbuatan balas dendam, apakah ia? Soal Kimura dalam blognya, merujuk kepada perbuatan berkongsi gambar intim tanpa keizinan individu terbabit.
Syarikat rakaman yang beribu pejabat di rantau Kagoshima itu bagaimanapun memberitahu media Jepun bahawa pihaknya memegang hak cipta gambar-gambar tersebut.
Pengguna media sosial di Jepun turut mengutuk syarikat berkenaan menggunakan tanda pagar bermaksud ‘Lindungi maruah Aki Yashiro’.
Satu petisyen online meminta agar perbuatan itu tidak dilakukan, menerima lebih 7,000 tanda tangan.
Yashiro yang membuat kemunculan pertama di Jepun dalam tahun 1970-an dilabel sebagai ratu enka iaitu genre muzik Jepun. Dia juga merupakan seorang penyanyi jazz. – AFP