GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan menyasarkan semua sekolah di seluruh negara akan dilengkapi dengan kemudahan papan pintar atau smartboard menjelang tahun 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memperkukuhkan penggunaan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam sistem pendidikan negara.
“Kita berharap sasaran (semua sekolah di seluruh negara dilengkapi smartboard) menjelang 2027 akan dapat dicapai.
“Namun kita juga bersedia dengan pelan sokongan lain termasuk menaik taraf pusat kegiatan guru sebagai pusat kecemerlangan untuk teknologi pendidikan,” katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas di sini hari ini.
Terdahulu, Fadhlina merasmikan majlis penyerahan smartboard sekolah-sekolah Pulau Pinang di SMK Bayan Lepas. Dalam majlis yang sama juga, Fadhlina turut menyemat lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar sekolah berkenaan.
Menurut Fadhlina, Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mencapai 100 peratus penggunaan smartboard di kesemua 396 sekolah di negeri ini.- KOSMO! ONLINE