PEMAIN sayap Sri Pahang FC, T. Saravanan mula mengintai peluang untuk berada dalam kesebelasan utama menjelang final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April ini.
Saravanan yang kini berusia 24 tahun bertekad untuk tidak mensia-siakan peluang andai diturunkan pada final yang dianggap sebagai penutup terbaik bagi saingan musim ini.
“Persiapan telah dilakukan sebaik mungkin dan saya akan memberikan yang terbaik untuk pasukan. Saya mahu memberikan segala-segalanya dalam tiga perlawanan terakhir musim ini, terutamanya aksi final (Piala Malaysia).
“Saya akan berusaha sepenuhnya dan membawa hasil itu untuk diri sendiri dan juga pasukan,” kata bekas pemain skuad bawah 23 (b-23) negara itu.
Sebagai rekod, Saravanan menemui sentuhan penyudah apabila meledak dua gol pada dua perlawanan terakhir ketika bertemu Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Perak FC pada saingan liga minggu lalu.
Saravanan mengakui kepercayaan diberikan oleh ketua jurulatih, Fandi Ahmad untuk meraih minit permainan pada penghujung musim perlu dibalas sebaik mungkin.
“Harapan saya selepas ini untuk terus mendapat minit permainan dan membantu pasukan dengan lebih baik. Terima kasih kepada semua rakan sepasukan yang memberikan seratus peratus dan kekal fokus sepanjang perlawanan,” katanya.
Bagaimanapun, jentera serangan Tok Gajah bakal tempang pada aksi final disebabkan Kpah Sherman digantung perlawanan selain Manuel Hidalgo tidak dibenarkan beraksi kerana berstatus pemain pinjaman daripada JDT.
Sri Pahang akan bertemu Penang FC pada aksi terakhir liga di Stadium Temerloh malam esok.