KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal dinaikinya merempuh sebuah trak pikap jenis Ford Everest yang tiba-tiba membelok di Jalan Kampung Atas Tol di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.28 pagi itu, mangsa, Farid Rizuan Mohamad Hanapiah, 16, meninggal dunia akibat parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, ketika kejadian, Farid Rizuan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Surau Haji Daud di sini.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa dikatakan gagal mengelak lalu merempuh trak pikap Ford Everest.
“Pikap dari arah bertentangan dipandu pesara guru berusia 71 tahun itu dikatakan tiba-tiba membelok ke simpang kiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Azli berkata, pegawai perubatan mengesahkan kematian Farid Rizuan yang menunggang motosikal abang iparnya.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE