SEREMBAN – Seorang pengurus tapak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini, hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang mangsa dengan menggunakan sebilah parang dalam kejadian berlaku pada 14 April lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, R. Suresh Khanna 47, tidak mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada B. Nagarajah 40, dengan menggunakan sebilah parang.
Perbuatan itu dilakukan di Tingkat 1, Kedai Alat Telekomunikasi 101 Gadgets-Seremban Gateway Off Jalan Sungai Ujong Seremban kira-kira jam 8.10 malam pada 14 April lalu.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman dengan pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni dalam pada itu memohon mahkamah supaya tidak menawarkan sebarang bentuk wang jaminan ke atas tertuduh kerana melibatkan kesalahan serius yang akan memungkinkan keluarga mangsa berada dalam ketakutan.
Namun, tertuduh yang diwakili peguam, Thayalan Moorthy merayu agar wang jaminan paling minima dapat diberikan memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama penuh untuk kes ini malah, anak guamnya itu turut menyerahkan diri kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
“Anak guam saya yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak itu juga mengidap penyakit seperti darah tinggi, gout, ulser, gastrik sejak 2004,” katanya. – KOSMO! ONLINE