fbpx

Pendakwa raya belum buat rayuan kedua, Eda Ezrin mungkin bebas 7 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eda Ezrin (kanan) ketika berada di majlis berbuka puasa di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand baru-baru ini.

NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan dijangka dibebaskan dari Penjara Wilayah Narathiwat di sini pada 7 Mei ini.

Memetik laporan portal berita apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, pihaknya belum menerima rayuan kedua daripada Pendakwa Raya Wilayah selepas memfailkan rayuan kali pertama pada 2 April lalu.

Menurutnya, sebelum ini pihak pendakwaan mengemukakan rayuan selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan Eda Ezrin atau nama sebenarnya, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, serta lima yang  lain atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.

“Kami tidak menerima rayuan kedua daripada pihak pendakwaan setakat hari ini. Jadi, perlu tunggu pada 1, 2 atau 5 Mei ini.

“Sekrianya tiada sebarang permohonan (daripada pendakwa raya) sehingga waktu pejabat mahkamah ditutup pada 6 Mei, maka mereka akan dibebaskan,” katanya.

Jurucakap mahkamah itu memberitahu, pihak pendakwa raya diberi tiga peluang untuk membuat permohonan lanjutan tempoh memfailkan rayuan melibatkan kes dadah dan kes berkaitan keselamatan lain.

Jelasnya, setakat ini pihak pendakwa raya menggunakan satu peluang untuk memfailkan rayuan kes itu dan tempoh tersebut berakhir pada 6 Mei ini.

“Kebiasaannya, pejabat pendakwa raya akan memfailkan rayuan kedua dalam masa dua atau tiga hari sebelum tempoh reman tamat. Jika rayuan kali kedua dibuat, tempoh reman akan ditambah sebulan lagi sehingga 6 Jun.

“Apabila ada rayuan ketiga selepas ini, maka tempoh tahanan reman ditambah lagi sebulan sehingga 6 Julai,” ujarnya.

Menurut jurucakap mahkamah itu, pihak berkuasa di Thailand juga tidak mahu menahan kesemua tertuduh terlalu lama tanpa perbicaraan adil.

Kosmo! sebelum ini melaporkan impian Eda Ezrin untuk segera keluar dari penjara musnah apabila perlu tinggal lebih lama kira-kira sebulan lagi bermula pada 6 April lalu.

lni susulan Pendakwa Raya Wilayah mengemukakan rayuan untuk melanjutkan reman terhadap Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, serta empat yang lain iaitu Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, pada 2 April lalu.

Lanjut reman itu dibuat selepas pendakwa raya memaklumkan pihaknya akan mencari lebih banyak bukti untuk mengaitkan penyanyi itu dan lima yang lain atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Sebelum ini, penyanyi dari Kelantan itu dibebaskan atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di Sungai Golok pada 6 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI