RAWANG – Polis Selangor memaklumkan laporan lengkap berhubung insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu akan diperoleh pada minggu hadapan.
Ketua Polis negeri, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketika ini siasatan yang dijalankan pihaknya merangkumi aspek kecuaian dan khianat.
Katanya, pada masa sama, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung bencana dahsyat tersebut.
“Jadi kita tunggu dalam seminggu lagi kita akan keluarkan laporan hasil dapatan dari tempat kejadian,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Balai Polis Country Homes yang disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein memberitahu, ketika ini kerja-kerja mengorek tanah hampir selesai dijalankan di lokasi kejadian.
“Kita telah menemui paip (gas) yang meletup dan kini di bawah kajian forensik JKPP, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.
Pada 4 April lalu, Kosmo! Online melaporkan polis mengesahkan terdapat kerja-kerja pengorekan tanah sebelum kebakaran dan letupan di saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada awal bulan ini.
Siasatan awal mendapati kerja-kerja itu dilakukan untuk menggantikan paip kumbahan yang terletak kira kira 30 meter dari pusat letupan.
Kontraktor dan pekerja yang ditugaskan menggunakan dua jentera iaitu jentolak dan jengkaut sebelum berhenti pada 30 Mac lalu.
Salah satu jentera iaitu jengkaut turut terbenam dalam lubang yang terhasil ekoran kejadian letupan tersebut.
Insiden letupan itu menjejaskan seramai 529 penduduk daripada 118 keluarga. Sejumlah 235 premis termasuk rumah dan kedai terjejas dengan 87 unit musnah sepenuhnya.
Selain itu sebanyak 225 buah kenderaan pula mengalami kerosakan. Kejadian menyebabkan seramai 125 individu cedera, manakala seorang mangsa dirawat di unit rawatan rapi.
Pemeriksaan mendapati terdapat tiga saluran paip gas di bawah tanah dan salah satunya meletup sehingga menghasilkan lubang berkedalaman lapan meter (m) dan 70m lebar. – KOSMO! ONLINE