KUALA LUMPUR – Menjadi antara latar filem Thunderbolts terbitan Marvel Studios, pemilihan menara kedua tertinggi dunia Merdeka 118 membuktikan Malaysia mampu menarik perhatian produksi antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pembikinan filem luar di sini bukan hanya mempromosikan negara, bahkan membuka peluang pekerjaan.
“Trailer Thunderbolts yang dikongsikan Marvel Studios menunjukkan pelakon Thunderbolts, Florence Pugh terjun dari Merdeka 118 setinggi 678.9 meter.
“Ramai pelakon tambahan membabitkan orang tempatan turut melatari filem tersebut, malah beberapa lokasi lain di Kuala Lumpur turut dipaparkan dalam media sosial sejak akhir tahun lalu.
“Sudah tentu penggambaran naskhah antarabangsa itu meninggalkan impak positif terhadap negara serta masyarakat dan penggiat seni tempatan,” katanya selepas pelancaran Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-8, semalam.
Pada masa sama, Azmir turut berterima kasih kepada pengurusan Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) yang meluluskan penggambaran filem Thunderbolts di Kuala Lumpur.
“Projek ini dipantau Kementerian Komunikasi kerana mendapat kelulusan Puspal seperti yang digariskan sebelum ini apabila setiap penggambaran antarabangsa perlu melalui agensi terbabit.
“Cuma mereka tidak memohon insentif rebat daripada kita kerana kos projek ini tidak begitu besar selain tempoh penggambaran juga hanya antara tiga hingga empat hari.
“Dalam hal ini, saya ingin ucap terima kasih kepada Puspal dan kementerian kerana membantu melancarkan proses penggambaran di Malaysia selama tiga hingga empat hari,” ujarnya.
Azmir menambah kejayaan seumpama itu tidak akan berlaku tanpa sokongan berterusan pasukan di belakang Finas dalam mempromosikan lokasi penggambaran di Malaysia.
“Saya turut ber lterima kasih kepada pasukan Finas termasuk pentadbiran yang terdahulu apabila tidak jemu mempromosikan lokasi penggambaran filem di Malaysia sampai ke hari ini.
“Menerusi hebahan serta galakan berterusan, penerbit luar dapat melihat potensi sekali gus datang menjalankan penggambaran seperti dilakukan produksi Marvel Studios,” ujarnya.
Terdahulu, video trailer dan belakang tabir pembikinan babak dalam filem Thunderbolts arahan Jake Schreier mencuri tumpuan ramai penonton dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbangga mercu tanda kedua tertinggi dunia selepas Burj Khalifa di Dubai menjadi latar penggambaran.
Selain Pugh, filem yang bakal ditayangkan pada 22 April ini turut membariskan Sebastian Stan, Wyatt Russell, Oleg Kurylenko dan David Harbour. – KOSMO! ONLINE