MANCHESTER – Manchester United mengesahkan tiket ke separuh akhir Liga Europa dengan kebangkitan penuh dramatik, menewaskan Lyon 5-4 dalam aksi suku akhir kedua di Old Trafford awal pagi tadi.
Kemenangan itu membuktikan United layak diangkat sebagai kelab remontada sebenar yang mambawa maksud kebangkitan dalam bahasa Sepanyol.
Ini disebabkan situasi The Red Devils ketingalan 2-4 ketika saingan berbaki enam minit lagi untuk tamat sebelum kebangkitan luar biasa dijelmakan oleh para pemain yang seolah-olah seperti ‘dirasuk’ apabila meledak tiga gol selepas itu untuk memastikan kemenangan 5-4.
Dalam aksi itu, United meledak dua gol menerusi Manuel Ugarte dan Diogo Dalot dalam babak pertama, namun Lyon bangkit meledak dua gol melalui Corentin Tolisso serta Nicolas Tagliafico untuk mengheret aksi ke masa tambahan.
Ketika itu, kedudukan terikat 4-4 secara agregat selepas masing-masing seri 2-2 sewaktu suku akhir pertama di Lyon, Perancis minggu lalu.
Biarpun Lyon bermain dengan 10 orang selepas Tolisso dibuang padang (m-89), pelawat seakan tidak terjejas apabila masih berupaya meledak dua gol menerusi Rayan Cherki dan Alexandre Lacazette pada minit ke-104 serta 109.
Pantang menyerah, United mencipta keajaiban luar biasa dengan meledak tiga gol dalam tempoh enam minit bermula jaringan Bruno Fernandes pada minit ke-114, Kobbie Mainoo (m-120) dan Harry Maguire (m-120+1). – AGENSI