PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan bekas hos Fox News, Bill O’Reilly yang menghina dan memperlekehkanan orang Melayu termasuk dengan ungkapan tiada wang disifatkan sebagai sikap jahil.
Anwar berkata, kenyataan itu turut menggambarkan sikap keangkuhan sesetengah pihak yang jahil dan dangkal ilmu.
Katanya, pemikiran sebegitu menunjukkan dia hanya mahu menunjukkan kelompok dan negara mereka sahaja yang paling berjaya.
Tegasnya, mereka juga tidak mempunyai kefahaman sama sekali tentang Asia, ASEAN dan perkembangan terbaharu hubungan dagangan antara rantau ini apabila menyatakan Melayu tidak ada duit untuk membeli barang dari China.
“Dan ini yang kita sebut dalam bidang ilmu sosial sebagai pemikiran yang terperangkap, pemikiran yang terbawa-bawa dengan sikap imperialis dan penjajah.
“Jadi, kita jangan terlalu gusar dengan perkara yang masih tiada. Ini akan ada sikap Islamofobia, anti kaum lain kerana kejahilan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengulas demikian berhubung kenyataan O’Reilly yang kini adalah pengulas politik konservatif AS, mengeluarkan kenyataan itu dalam usaha memperlekeh lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja.
Dalam hantaran di X, dia mengatakan penduduk di negara-negara yang di lawati oleh Jinping itu termasuk menyebut ‘Melayu’ sebagai tidak ada wang untuk membantu China yang kini dikenakan tarif lebih 200 peratus oleh AS.
Dia turut memperlekehkan lawatan yang bertujuan mengukuhkan hubungan serantau itu dengan mengatakan Jinping ke negara-negara terbabit dengan tujuan untuk menyeludup barang.
Presiden China itu memulakan lawatan kerja rasmi ke Malaysia pada Selasa atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ini lawatan kedua Jinping ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kali terakhir pada 2013 yang menyaksikan hubungan diplomatik kedua-dua negara ditingkatkan kepada perkongsian strategik menyeluruh.
Jinping telah diberikan sambutan negara diikuti dengan majlis menghadap dan jamuan negara bersama Sultan Ibrahim di Istana Negara. – KOSMO! ONLINE