KEJAYAAN tanpa kalah sepanjang saingan Liga Super musim ini belum menghadirkan kepuasan buat pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio yang mahu melihat prestasi lebih baik mampu dipamerkan oleh barisan pemain.
Mengambil kira status Harimau Selatan sebagai pasukan terbesar di negara ini, seluruh pasukan harus menjauhkan diri dengan sikap berpuas hati dan wajib mempunyai motivasi tinggi untuk memperbaiki setiap kelemahan.
“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada bos (Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim) kerana percayakan saya dan beri segala-galanya. Seperti yang kita tahu, JDT adalah pasukan besar yang sentiasa meningkat hari demi hari.
“Kami kena terus berkembang dan sekarang kami kena terus lakukannya. Kami perlu beri fokus kepada perlawanan penting selepas ini (final Piala Malaysia),” katanya.
Pada aksi terakhir di Stadium Negeri, Sarawak kelmarin, JDT menoktahkan perjalanan luar menerui kemenangan ke 23 musim ini selepas menumpaskan Kuching City 2-0.
Dua gol itu hadir menerusi sepakan penalti Bergson Da Silva seawal minit kelima dan tampanan mudah daripada Romel Morales pada minit ke-26.
Sebagai rekod, ini adalah kali keempat JDT dengan gelaran invincibles apabila menamatkan liga semusim tanpa sebarang kekalahan, mengulangi pencapaian pada 2016, 2022 dan 2023.
Bagaimanapun, Bidoglio mengakui anak-anak buahnya berdepan kesukaran dan menganggap tuan rumah berjaya menampilkan permainan berkualiti hingga memberi kesukaran kepada JDT.
“Kita tahu perlawanan ini adalah sukar, namun saya begitu bangga dengan pemain kerana tetap menghadirkan prestasi baik sepanjang musim. Kami sudah melalui perjalanan panjang yang sukar sepanjang musim,” katanya.