PETALING JAYA – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyeru semua pihak media untuk meningkatkan ketelitian dalam memaparkan simbol kebangsaan, termasuk melalui proses semakan lebih ketat dan pengawasan ke atas penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam penyuntingan.
Perkara itu susulan isu kesilapan oleh dua surat khabar bahasa Cina, iaitu Sin Chew Daily dan Nanyang Siang Pau, yang telah memaparkan imej bendera Malaysia (Jalur Gemilang) yang tidak lengkap pada muka hadapan penerbitan mereka.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, Jalur Gemilang bukan sekadar lambang kebangsaan, tetapi mencerminkan identiti, kedaulatan dan semangat perpaduan rakyat Malaysia berbilang kaum.
Menurutnya, IKIM memandang serius sebarang kesilapan dalam pemaparan bendera kebangsaan, sama ada disengajakan atau sebaliknya kerana boleh mencetus sensitiviti dan menjejaskan keharmonian.
“Kami mengalu-alukan tindakan segera Sin Chew Daily yang telah mengeluarkan permohonan maaf dalam tiga bahasa (Melayu, Inggeris, dan Cina) serta berjanji untuk meminda kesilapan dalam versi digital dan cetakan.
“Kami juga meminta Nanyang Siang Pau untuk segera mengeluarkan permohonan maaf rasmi dan memastikan kesilapan ini tidak berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebagai institusi yang komited memupuk perpaduan dan kefahaman antara kaum, IKIM menggesa rakyat Malaysia untuk menangani isu ini dengan penuh kematangan dan saling menghormati.
“Dialog konstruktif dan kesediaan untuk belajar daripada kesilapan adalah penting.
“Kami juga menyeru semua pihak, termasuk media dan pemimpin masyarakat untuk memastikan Jalur Gemilang sentiasa dihormati sebagai lambang kesetiaan kepada negara,” katanya.
Mohamed Azam berkata, IKIM kekal komited untuk mempromosikan perpaduan nasional dan berharap isu ini
menjadi pengajaran bagi semua pihak untuk lebih menghargai simbol kebangsaan.
Terdahulu, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily memohon maaf atas kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di akhbarnya baru-baru ini.
Sin Chew dalam satu kenyataan, ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.- KOSMO! ONLINE