MILAN – Inter Milan makin mencerahkan harapan untuk menghadirkan kejayaan trebel musim ini selepas mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menyingkirkan Bayern Munich 4-3 secara agregat.
Pada aksi suku akhir kedua di Stadium San Siro awal pagi semalam, keputusan seri 2-2 sudah cukup buat Inter untuk mara ke peringkat empat terbaik susulan kemenangan 2-1 dalam aksi pertama di Allianz Arena minggu lalu.
Mengambil kira keadaan cuaca di San Siro, pengurus Inter, Simone Inzaghi mengakui anak-anak buahnya berdepan kesukaran, namun paling menggembirakannya adalah sikap ditonjolkan oleh setiap pemain.
“Kami tidak putus asa, memiliki karakter, kecerdasan dan jiwa untuk memenangi perlawanan. Kami terlebih dahulu ketinggalan, namun berjaya menunjukkan perkara yang bagus dalam perlawanan ini,” katanya.
Dalam aksi itu, Bayern meraih gol pertama menerusi Harry Kane pada minit ke-52, namun ia cuma bertahan enam minit sebelum Lautaro Martinez menyamakan kedudukan buat Inter.
Benjamin Pavard mengecewakan bekas pasukannya dengan gol kedua Inter pada minit ke-61 tetapi Bayern tidak mengalah dan usaha mencari jaringan penyamaan berhasil melalui Eric Dier tidak lama kemudian.
Selain pertemuan menentang Barcelona di separuh akhir UCL pada 30 April nanti, Inter juga masih mendahului carta Serie A dan hanya selangkah lagi untuk mengesahkan tempat ke pentas final Piala Itali musim ini.
“Di awal musim kami sudah fikirkan untuk memenangi segala-galanya kerana jika semua itu tiada dalam fikiran, kami sepatutnya tidak babitkan diri. Saya boleh katakan itulah mentaliti yang kami ada,” kaa Martinez. – AGENSI