fbpx
NOOR MAIZA menyusun kuih muih di gerainya di Kampung Tengah, Puchong baru-baru ini. – FARIZ RUSADIO

‘Dahulu dapat RM700, kini cuma RM200 sehari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUCHONG – Insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Su­bang Jaya dekat sini pada 1 April lalu turut menjejaskan sebahagian peniaga apabila pendapatan mereka merosot sehingga 70 pe­ratus ekoran penutupan laluan utama ke kawasan perniagaan.

Seorang peniaga makanan, Noor Maiza Omar, 46, berkata, golongan peniaga yang mencari rezeki di kawasan berkenaan juga menerima tempias susulan insiden yang menjejaskan lebih 200 buah rumah itu.

Katanya, pelanggannya berkurang secara mendadak sekali gus menyebabkan pendapatan hariannya menurun hampir 70 peratus.

“Gerai kecil yang dulunya meriah dengan pelanggan, kini sunyi dan kuih-muih yang dijual seringkali tidak habis.

“Jika sebelum ini saya mampu menjana sekitar RM700 sehari, kini hasil jualan merosot kepada sekitar RM200 atau kurang,” katanya kepada Kosmo!

Kata Noor Maiza, lebihan kuih jualannya yang tidak habis disedekahkan kepada individu atau penduduk di kawasan ­berkenaan.

BEBERAPA rumah di Putra Heights, Subang Jaya yang rosak susulan letupan paip gas pada 1 April lalu. – SHIDDIEQIIN ZON

“Walaupun diuji, saya masih boleh bantu orang lain. Itu pun satu nikmat,” ujarnya.

Situasi sama turut dialami peniaga makanan, Suhana Abdullah, 47, yang mengakui pendapatannya terjejas sejak insiden kebakaran paip gas pada 2 ­Syawal lalu.

Katanya, pelanggan semakin kurang setiap hari dan jualan harian menurun kepada kira-kira RM300 berbanding RM500 sebelum ini.

Namun, dia bersyukur kerana pada hujung minggu lalu, jualannya kembali meningkat apabila kawasan itu dikunjungi ramai sukarelawan yang datang membantu mangsa.

“Bukan senang sekarang, tapi saya tetap bersyukur. Masih ada rezeki untuk teruskan perniagaan,” katanya.

Bagi Ahmad Faris Ismadi, 33, dia menggunakan pendekatan kreatif dengan menawarkan tempahan secara dalam talian bagi menampung kemerosotan pelanggan ke gerai miliknya.

Dia yang menjalankan perniagaan berasaskan lauk salai memberitahu, ramai pelanggan setia sukar masuk ke kawasan tersebut akibat penutupan jalan.

“Namun, saya tetap berusaha memenuhi permintaan dan menghantar makanan kepada pelanggan yang membuat tempahan awal. Kalau tunggu orang datang, mungkin kosong. Tapi sekurang-kurangnya dengan tempahan awal, ada juga hasil,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN