SKUAD ragbi kebangsaan negara kini berada pada fasa akhir persiapan menjelang aksi penentuan menentang Sri Lanka dalam playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen Premier 2025 di Colombo esok.
Malaysia yang dibarisi gabungan pemain tempatan dan tiga tenaga naturalisasi bakal turun dengan semangat juang tinggi dalam misi mengekalkan slot ke divisyen premier musim depan.
Salah seorang tonggak pasukan, Ryan James Long menyifatkan semangat pemain dalam kem kali ini cukup positif berdepan perlawanan penting tersebut.
“Saya rasa pasukan ini memang dah serasi. Semua orang saling mengenali dan hubungan sesama pemain nampak kuat.
“Dari segi peluang, saya tak tahu banyak tentang pasukan Sri Lanka, tapi saya yakin kami akan beri persembahan terbaik,” katanya.
Ryan, 34, berasal dari United Kingdom (UK) dan memulakan kerjayanya sebagai pemain profesional bersama London Wasps sebelum berkelana ke New Zealand.
Beliau kembali ke UK sebelum mengambil keputusan menetap di Malaysia dan kini beraksi bersama KL Tigers dan Selangor.
Selain Ryan, skuad kendalian Mohd. Saizul Hafifi Md. Noor itu turut diperkuat dua pemain dari Fiji iaitu Samuela Tamanisau dan Etonia Vaqa Saukuru.
Bagaimanapun, ketua jurulatih negara mengingatkan para pemain agar kekal fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan yang dijangka sengit.
“Dalam perlawanan playoff seperti ini, semua benda kecil boleh jadi penentu. Kami kena bijak kawal emosi dan pastikan setiap peluang dimanfaatkan,” katanya.