MADRID – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui pasukannya layak dianggap antara pilihan untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menyingkirkan juara bertahan, Real Madrid untuk lolos ke peringkat separuh akhir musim ini.
Pada aksi suku akhir kedua awal pagi semalam, The Gunners yang memiliki kelebihan 3-0 selepas menang perlawanan pertama di Stadium Emirates minggu lalu meneruskan momentum cemerlang untuk melakar keputusan 2-1 sekali gus layak dengan keputusan agregat 5-1.
Keputusan tu menyaksikan Arsenal mara ke kelompok empat terbaik kejohanan berprestij Eropah itu buat kali pertama sejak edisi 2009 dan bakal menentang jaguh Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) di separuh akhir pada 30 April ini.
Kata Arteta, sekarang adalah masa untuk meraikan kejayaan tetapi barisan pemain perlu kekal berpijak di bumi nyata dan fokus mengharungi satu demi satu perlawanan sehingga sasaran bergelar juara Eropah tercapai buat kali pertama dalam sejarah kelab.
“Selepas menang ke atas Real, kami semakin yakin untuk menewaskan mana-mana pasukan. Barisan pemain juga semakin matang untuk menang di Santiago Bernabeu sekali gus mara ke pusingan separuh akhir buat kali ketiga dalam sejarah kelab,” katanya.
Sebagai rekod, kemenangan di Santiago Bernabeu itu menyaksikan Arsenal masih belum tewas dalam empat pertemuan antara kedua-dua pasukan sementara Real pula menanggung kekalahan pertama di peringkat suku akhir buat kali pertama selepas 20 tahun.
Sementara itu, Arteta mengakui hampir memarahi bintangnya, Bukayo Saka kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti pada awal babak pertama sehingga menjejaskan motivasi pasukan.
“Saya hampir mahu menampar Saka kerana gagal sepakan penalti. Namun, saya tidak boleh salahkannya kerana hanya dia yang cukup berani untuk berada dalam situasi itu,” katanya.
Bagaimanapun, Saka berjaya menebus kesilapannya dengan meledak satu gol pada babak kedua dengan satu lagi jaringan dilakukan oleh Gabriel Martinelli pada masa kecederaan. – AGENSI