fbpx

Anwar tegaskan keperluan henti pertempuran di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar sebelum berlepas ke tanah air selepas lawatan kerja bersama delegasi Malaysia ke Thailand yang berakhir hari ini. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan menghentikan pertempuran dan melanjutkan gencatan senjata di Myanmar bagi membolehkan akses bantuan kemanusiaan yang mendesak kepada rakyat negara tersebut.

Perkara itu dinyatakan oleh Anwar berhubung hasil pertemuan bersama Jeneral Kanan Min Aung Hlaing sewaktu lawatan kerja bersama delegasi Malaysia ke Thailand, semalam.

“Saya turut menyatakan keperluan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada semua komuniti yang terjejas, tanpa mengira penjajaran politik mahupun geografi, dan beliau menyatakan komitmen terhadap perkara ini,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Anwar memaklumkan, satu sidang media turut diadakan di Bangkok hari ini dan beliau berkongsi hasil lawatan kerja bersama delegasi Malaysia ke Thailand, termasuk beberapa pencapaian penting dalam kerjasama dua hala susulan pertemuan dengan Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra semalam.

“Antara pencapaian paling bermakna ialah termeterainya perjanjian yang telah lama dinanti-nantikan bagi membolehkan pembinaan Jambatan Persahabatan Rantau Panjang-Sungai Golok, yang akan meningkatkan keterhubungan serta menyuntik nafas baharu kepada ekonomi tempatan di kedua-dua belah sempadan.

“Saya turut mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN, yang diketuai Dr. Thaksin Shinawatra dan dianggotai tokoh-tokoh kanan serantau, sebelum mengadakan pertemuan maya dengan U Mahn Win Khaing Than daripada Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar,” katanya.

Anwar berkata, berakhir sidang media, beliau langsung ke lapangan terbang untuk pulang ke tanah air.

“Alhamdulillah meskipun singkat, namun lawatan kerja ini telah membuahkan hasil yang cukup bermakna untuk persahabatan erat Malaysia-Thailand dan komuniti ASEAN,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI