JENAMA kopi Malaysia, ZUS Coffee bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah menghidangkan 10,000 juadah berbuka puasa kepada keluarga-keluarga di Gaza sepanjang bulan Ramadan lalu.
Hidangan berbuka puasa itu merupakan hasil sumbangan daripada Komuniti ZUS Coffee menerusi melalui inisiatif ZUS CARES yang dipaparkan di dalam aplikasi ZUS Coffee.
Sebanyak RM266,000 berjaya dikumpulkan dan sumbangan itu telah diserahkan kepada MAPIM bagi membantu program tersebut dan memastikan keluarga-keluarga di Gaza mendapat sokongan sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi ZUS Coffee, Venon Tian, inisiatif ZUS CARES diteruskan sehingga kini yang memberi peluang kepada pelanggan untuk menyokong usaha-usaha bermakna bagi golongan yang memerlukan.

“Orang ramai boleh memberi sumbangan menerusi aplikasi ZUS Coffee yang membolehkan pelanggan menyumbang kepada inisiatif derma yang telah disahkan semasa membuat pembayaran.
“Walaupun penyerahan sumbangan ini berlaku pada bulan Ramadan, semangat memberi dalam kalangan rakyat Malaysia telah terbukti sejak dahulu lagi dengan sokongan berterusan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Tambah beliau, Ramadan adalah masa untuk bermuhasabah, bersyukur dan untuk memberi. Sehubungan itu, pihaknya berterima kasih kepada pelanggan-pelanggan yang memberi sumbangan menerusi platform ZUS CARES untuk menyokong keluarga-keluarga di Gaza.

“Kami berasa sangat terharu melihat kemurahan hati yang berterusan daripada komuniti ZUS Coffee. Sumbangan kolektif ini menunjukkan bahawa tindakan kebaikan yang kecil, apabila dilipatgandakan boleh mencipta kesan yang mendalam dan berkekalan.
“Bagi kebanyakan orang di Gaza, sokongan ini lebih daripada sekadar hidangan biasa. Ia adalah simbol perpaduan dan mesej harapan,” katanya.
Pada masa yang sama, MAPIM turut merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan ikhlas ini dan menekankan bahawa kemurahan hati akan membantu mengekalkan usaha bantuan yang berterusan serta menaikkan semangat mereka yang menghadapi kesukaran.
“Sumbangan itu juga datang pada ketika usaha-usaha kemanusiaan di Gaza menghadapi cabaran yang amat besar.
“Hanya beberapa hari selepas penyerahan itu, MAPIM meratapi kehilangan lapan anggota kemanusiaannya yang terkorban secara tragis dalam serangan udara.
“Dedikasi dan pengorbanan mereka menjadi peringatan yang kuat tentang risiko yang dihadapi oleh mereka yang bekerja di lapangan dan keperluan mendesak untuk sokongan berterusan,” kata Venon lagi.