MADRID – Pemain tengah sensasi Arsenal, Declan Rice percaya pasukan mampu melakar kejayaan istimewa musim ini selepas memahat sejarah mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali ketiga dalam sejarah kelab berkenaan.
Sebagai rekod, skuad The Gunners berjaya menepis status ‘underdog’ apabila mudah menewaskan juara bertahan, Real Madrid dengan keputusan 5-1 secara agregat termasuk menang 2-1 pada aksi suku akhir kedua di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.
Rice yang berjaya meledak dua gol ketika menang 3-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Emirates minggu lalu gembira dapat menutup mulut semua pihak termasuk pasukan lawan yang sebelum ini tidak henti-henti mengeluarkan kenyataan yakin bangkit di laman sendiri.
“Ini adalah malam yang bermakna buat kelab selepas mencipta sejarah lolos ke separuh akhir. Kami ada sasaran dalam kejohanan ini untuk bertemu dengan pasukan terbaik dan menang.
“Pada awalnya nampak sukar kerana ramai menganggap kami sebagai pasukan bukan pilihan apabila bertemu Real. Meskipun ada kelebihan 3-0, masih ramai merasakan Real mampu untuk bangkit tetapi kami buktikan dengan kematangan di atas padang untuk menang,” katanya.
Arsenal akan bertemu Paris Saint-Germain (PSG) di Stadium Emirates untuk separuh akhir pertama pada 30 April ini sebelum bertandang ke Parc des Princes bagi aksi timbal balik 7 Mei ini dalam usaha mara ke final dijadualkan berlangsung di Allianz Arena, Munich. – AGENSI