ALOR SETAR – Sebahagian tokan dadah dipercayai melarikan diri ke negara jiran susulan serbuan Ops Kenari 1.0 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Kedah dari 9 April hingga semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ramai yang sudah melarikan di negara sempadan, namun pihaknya akan meneruskan momentum untuk memburu semua suspek terlibat.
Katanya, JSJ Narkotik Bukit Aman melancarkan dua operasi iaitu Ops Penyu di Terengganu dari 6 Mac hingga 12 Mac lalu, diikuti Ops Kenari di Kedah dari 9 April hingga semalam.
“Matlamat utama kita kita adalah untuk membanteras tokan-tokan dadah iaitu untuk melumpuhkan aktiviti pembekalan dan pengedaran dadah di negeri-negeri yang kita klasifikasikan sebagai yang paling tinggi (penagih).
“Operasi ini ini memberikan impak yang besar, untuk memberi satu kegerunan kepada sindiket pengedaran dadah dan tokan-tokan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Ops Kenari melibatkan kerjasama JSJN Kedah dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, dalam Ops Penyu, jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai 24 suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau. Mereka telah dituduh di mahkamah, baru-baru ini.
“Operasi di Kedah pula melibatkan daerah Kuala Muda, Pendang, Kota setar dan Pokok Sena dengn jumlah tangkapan keseluruhan 61 orang terdiri daripada 59 lelaki dan dua perempuan,” ujarnya.
Beliau berkata, dua sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan iaitu sindiket 18 dan 04 serta membongkar satu makmal memproses dadah.
Kosmo! Online semalam melaporkan, JSJN Bukit Aman berjaya melumpuhkan dua sindiket dan sebuah makmal haram memproses dadah menerusi Ops Kenari 1.0 di Kedah.
Seramai 56 individu termasuk seorang anggota polis ditahan dan pelbagai jenis dadah bernilai RM6 juta dirampas dalam operasi dijalankan di Kedah dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi bermula 9 hingga 16 April itu dilakukan di Kuala Muda, Pendang, Alor Setar dan Pokok Sena.
Katanya, hasil tindakan dijalankan, pihaknya berjaya membongkar kegiatan sebuah makmal haram dan dua sindiket iaitu 18 serta 04. – KOSMO! ONLINE