SEREMBAN – Seorang lagi suspek wanita yang dipercayai terlibat kes culik seorang remaja perempuan, di sini pada 10 April lalu, ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, suspek berusia 50-an itu ditahan pada pukul 12.55 tengah hari di Cheras, Kuala Lumpur selepas dipercayai terlibat dalam penerimaan wang tebusan.
“Wanita terbabit disyaki terbabit ketika penerimaan wang yang diminta penculik. Kami juga masih menjalankan siasatan lanjut sama ada suspek mempunyai kaitan lain,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurutnya, wanita terbabit telah ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Tangkapan terbaharu ke atas suspek wanita itu menjadikan keseluruhan tujuh suspek ditahan iaitu tiga lelaki dan empat wanita.
Pada 14 April lalu, Kosmo! melaporkan seorang daripada suspek yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan ditembak mati di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor, awal pagi Isnin.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, suspek lelaki berusia 21 tahun itu cuba meloloskan diri ketika ditahan dan memandu secara melawan arus serta melanggar kenderaan polis. – KOSMO! ONLINE