ALOR SETAR – Polis tidak menolak kemungkinan dadah jenis fentanyl atau dadah zombi akan menular dalam kalangan remaja termasuk pelajar sekolah berikutan penggunaan vape yang tinggi di peringkat usia itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penggunaan vape yang tidak terkawal dikhuatiri mendedahkan golongan remaja dengan dadah termasuk fentanyl yang 100 kali lebih kuat daripada morfin.
Katanya, penggunaan dadah zombi tersebut setakat ini dikesan di Dang Wangi, Kuala Lumpur dan Johor Bahru berdasarkan ujian saringan air kencing yang dilakukan.
“Namun begitu, kita bimbang selepas satu makmal dadah yang menghasilkan vape dibongkar di Kedah menerusi Ops Kenari dari 9 hingga 16 April lalu. Ia merupakan makmal dadah hasilkan vape yang pertama diserbu di negeri ini.
“Pelbagai jenis dadah ditemukan antaranya erimin 5, ekstasi, ganja dan heroin selain ada 110 katrij dan 67 botol cecair vape,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.
Katanya, makmal tersebut dipercayai bukan sahaja membekalkan cecair vape disyaki dicampur dadah di Kedah, malah untuk pasaran Pulau Pinang dan Lembah Klang.
“Biasanya kalau kita sebut makmal (dadah) ini, banyak di Pulau Pinang, Selangor dan Johor Bahru tetapi sekarang di Kedah pun sudah ada makmal.
“Makmal pula yang menghasilkan (cecair) vape, dicampur mushroom dan dibimbangi ada fentanyl. Ini yang kita bimbang sebab ramai pengguna vape berusia antara 13 dan 17 tahun,” ujarnya.
Jelasnya, polis akan meneruskan momentum dengan menjalankan operasi berkaitan dalam usaha mengekang kegiatan pembekalan dan pengedaran dadah dalam negara.
“Kalau dari awal (usia muda) sudah dimasukkan bahan-bahan yang merbahaya ini seperti NPS, kita tidak tahu masyarakat apa yang kita nak ada di Malaysia ini, justeru kita akan kekalkan momentum ini,” katanya.
Beliau pada masa sama memohon kerjasama pihak sekolah supaya melaporkan sebarang penggunaan vape dan penyalahgunaan dadah atau NPS melibatkan pelajar.
“Kita pun ada Pegawai Perhubungan Sekolah dan jika ada tangkapan atau maklumat daripada pihak sekolah berkenaan penglibatan pelajar dalam dadah, kita akan pergi ke sekolah dan siasat dari mana mereka dapat bekalan, itu kita akan buat susulan.
“Sebab itu, walaupun kita selalu berinteraksi dengan pihak sekolah, ada juga kadang-kadang pihak sekolah ini masih nak melindungi dengan alasan takut memburukkan imej sekolah, jadi itu tidak betul kerana ia boleh menjadi lebih parah,” jelasnya.
Ayob Khan pada masa sama berkata, pihaknya akan terus mengusulkan cadangan supaya penjualan vape diharamkan di negara ini.
“Sementara nak tunggu kerajaan pusat gubal undang-undang baharu, kerajaan negeri boleh ambil tindakan kerana lesen (perniagaan) vape berada di bawah PBT (pihak berkuasa tempatan),” tambahnya. – KOSMO! ONLINE