DORTMUND – Bintang Borussia Dortmund, Serhou Guirassy muncul pemain Afrika dengan jaringan terbanyak dalam satu musim Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila meledak hatrik menentang Barcelona, sekali gus memadam rekod milik Mohamed Salah.
Penyerang Guinea itu meledak tiga gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Barcelona dalam aksi timbal balik di Signal Iduna Park awal pagi semalam, namun kekalahan besar 0-4 di suku akhir pertama minggu lalu sudah cukup untuk menghukum mereka.
“Ia perasaan yang menakjubkan apabila anda menjadi penjaring terbanyak (UCL) disebabkan persaingan hebat dengan ramai pemain. Namun, saya tidak mampu lakukannya seorang diri tanpa bantuan rakan sepasukan,” katanya.
Gol pertama Guirassy hadir menerusi sepakan penalti sebelum dia menanduk masuk sepakan penjuru Ramy Bensebaini pada awal separuh masa kedua sekali gus menyuntik semangat kebangkitan buat tuan rumah.
Bagaimanapun, impian itu pudar apabila Bensebaini tertolak bola ke gawang sendiri akibat tekanan daripada Robert Lewandowski, menjadikan kedudukan sukar untuk Dortmund mengejar.
Guirassy sempat melengkapkan hatrik pada lewat permainan selepas mencuri bola daripada benteng pertahanan Barcelona tetapi masa tidak mencukupi untuk mereka mencipta keajaiban.
Dengan 13 gol dalam 14 penampilan musim ini, Guirassy bukan sahaja mengatasi Salah (10 gol, 2017/18) dan Sadio Mane (10 gol, 2017/18), malah muncul penjaring terbanyak kejohanan setakat ini, mengatasi Raphinha (12), Robert Lewandowski (11) serta Harry Kane (10).
Rekod itu juga menjadikan Guirassy sebagai pemain Dortmund pertama menjaringkan 13 gol dalam satu kempen UCL iaitu pencapaian luar biasa dalam musim sulungnya bersama kelab itu selepas berpindah daripada VfB Stuttgart. – AGENSI