PASIR PUTEH – Jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bermula dari Kelantan ke Selangor melibatkan jarak 665 kilometer (km) sudah mencapai kemajuan sebanyak 81.07 peratus setakat Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd.(MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, projek ECRL di Terengganu mencatatkan kemajuan tertinggi iaitu 90 peratus diikuti Kelantan dengan 88.86 peratus.
Menurutnya, kemajuan ECRL di Pahang pula mencatatkan sebanyak 86 peratus dan kesemua projek di ketiga-tiga negeri ini mengikut jadual yang ditetapkan.
“Setakat ini, kita berpuas hati terhadap kerja-kerja pembinaan yang dijalankan oleh pihak kontraktor dilantik. Kemajuan projek dilihat sangat baik di Kelantan, Terengganu dan sebahagian di Pahang melibatkan jarak 400 km dari Tunjong ke Maran.
“Kemajuan projek itu sekali gus memberi momentum dan motivasi kepada semua pekerja untuk melihat projek ini siap pada waktu ditetapkan iaitu pada Disember tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Lawatan Kerja Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Stesen ECRL Pasir Puteh, hari ini.
Darwis memberitahu, kerja-kerja pembinaan bagi stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong dan Pasir Puteh akan siap sepenuhnya pada bulan April atau Mei tahun depan.
Menurutnya, percubaan keseluruhan operasi ECRL dijangka dijalankan pada Jun 2026 sebelum akan memulakan operasi penuh pada Januari 2027.
“Kebanyakan isu besar terutamanya pengambilan tanah sudah diselesaikan. Ini membolehkan kita mencapai kemajuan projek yang baik.
“Kerjasama daripada semua pihak yang terlibat khususnya kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan termasuk pejabat tanah dan jajahan banyak membantu kita dalam menyiapkan projek mengikut jadual,” katanya.
Berdasarkan rekod, Projek ECRL bakal beroperasi pada Januari 2027 melibatkan jarak jajaran 665 kilometer mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara.
Sebanyak 20 buah stesen bermula dari Tunjong, Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, Selangor menghubungkan bandar raya, bandar-bandar dan taman-taman perindustrian dengan rel berkelajuan 160 kilometer sejam menerusi projek itu. – KOSMO! ONLINE