PENDANG – Seorang penternak ayam terkejut apabila mendakwa melihat seekor anak harimau belang berkeliaran di kawasan ladang ternakan ayam di Kampung Bukit Tegur, Paya Mak Inson, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu, Muhammad Khairi Abdul Razak, 32, hanya sempat merakam satu gambar sebelum haiwan itu masuk ke dalam semak.
Muhammad Khairi yang lebih setahun menternak ayam di situ berkata, semasa kejadian dia dan dua pekerjanya baru pulang dari kedai runcit di kampung itu.
“Saya terkejut apabila ternampak seekor anak harimau belang sebesar kucing dewasa sedang bertenggek di atas batu berdekatan reban ayam sambil mengangakan mulutnya.
“Saya cuba mendekati untuk menangkapnya sambil mengarahkan dua pekerja meninjau kawasan sekitar bagi memastikan tiada harimau lain berdekatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, anak harimau itu bagaimanapun hilang menyebabkan dia segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pendang.
“Ini merupakan kali pertama saya terserempak dengan anak harimau belang dan saya bimbang keselamatan dua pekerja serta 20,000 ekor ayam yang diternak,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan melalui MERS 999 berkaitan kejadian itu pada pukul 8.30 malam tadi.
“Kita menggerakkan lima anggota bersama sebuah kenderaan ke lokasi dan sebaik sampai, anggota kita yang membuat pencarian ternampak seekor anak harimau belang berkeliaran di kawasan reban.
“Walau bagaimanapun tindakan anggota cuba menangkap haiwan berkenaan tidak berhasil apabila anak harimau belang itu melarikan diri ke dalam semak berhampiran,” katanya.
Tambahnya, sebagai langkah susulan anggotanya bertindak memasang perangkap bagi tujuan pemantauan dan tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE