KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi menjelaskan pembukaan semula Menara Kuala Lumpur (Menara KL) kepada pengunjung akan dilakukan selepas kerja baik pulih selesai.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bukan hanya keadaan menara yang agak daif, malah isu keselamatan juga perlu ditangani sepenuhnya oleh konsesi baharu sebelum mercu tanda Kuala Lumpur itu dibuka kembali.
Katanya, hasil pemantauan petugas kementerian di Menara KL mendapati ada perkakas di dapur dan beberapa ruangan di lokasi berkenaan tidak berada dalam keadaan selesa untuk pengunjung.
“Kita dapati selain berdasarkan gambar dan video hasil pengamatan pasukan, banyak daripada sama ada perkakas di dapur dan di menara berputar yang ada restoran dulu, tidak berada dalam keadaan nyaman atau selesa kepada pengunjung.
“Malah kita lihat ada ‘railling’ yang berada di ‘deck’ yang sudah diturunkan. Ini saya rasa merisaukan. Jadi, demi keselamatan pengunjung, maka syarikat baru perlu segera melaksana penyelenggaraan termasuk (menilai) aspek keselamatan,” katanya pada sidang akhbar di Menara Angkasapuri, hari ini.
Katanya, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan juga sudah melawat menara itu tengah malam tadi beserta notis awal penutupan bagi memberi ruang kepada konsesi baru melakukan kerja-kerja mereka.
“Menara KL adalah sepenuhnya hak milik kerajaan dan diurus operasinya oleh Kementerian Komunikasi. Sejak 1 April lalu, syarikat lama sudah tamat operasi dan syarikat baharu mula pada 1 April.
“Sebelum ini syarikat lama enggan keluar, maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan sudah meneliti isu ini. Kita sudah melalui proses oleh pihak pesuruhjaya masuk untuk memudahkan pemegang konsesi baharu masuk kelak,” jelasnya.
Sementara itu, bagi nasib pekerjanya, Fahmi menjelaskan seramai 193 daripada 205 pekerja daripada syarikat lama sudah diserap masuk ke dalam syarikat baharu. – KOSMO! ONLINE.