PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memulakan satu projek rintis melibatkan pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis untuk ditempatkan di beberapa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terpilih.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah ini merupakan inisiatif proaktif pihaknya dalam memperkukuh disiplin pelajar serta merealisasikan matlamat ‘sifar buli’ di institusi pendidikan berprestij itu.
“Cadangan ini telah saya bangkitkan dalam Majlis Mara dan telah dipersetujui sebulat suara. Buat permulaan ini, projek rintis (pilot) akan dimulakan dengan melibatkan beberapa MRSM bagi melihat dan mengkaji keberkesanan inisiatif ini.
“Kerjasama juga akan dilakukan dengan persatuan veteran tentera dan bekas polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan,” katanya dalam satu catatan di Facebook, hari ini.
Katanya, Bahagian Pendidikan Menengah Mara akan bertanggungjawab menggubal garis panduan terperinci melibatkan terma-terma rujukan, tanggungjawab serta bidang tugas warden yang akan dilantik.
“Inisiatif ini penting untuk memastikan pembangunan sahsiah, disiplin dan akhlak pelajar-pelajar MRSM sentiasa dapat diperkasakan seiring dengan falsafah pendidikan yang mahu melahirkan generasi yang cemerlang secara holistik dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
“Ini juga bagi memastikan matlamat Mara untuk sifar buli di MRSM benar-benar mampu direalisasikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE