JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga China ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Bertam 15, Taman Daya di sini, malam semalam.
Mangsa yang ditemui meninggal dunia dikenali sebagai Wu Zhongdi, 47.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Shahril Sapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.54 malam.
Katanya, kebakaran berlaku melibatkan sebuah rumah teres separuh kekal berkeluasan 20X60 kaki persegi.
“Pasukan Keluar Operasi (PKO) tiba di lokasi kebakaran lima minit sejurus menerima panggilan kecemasan dan mendapati rumah sedang terbakar 80 peratus.
“PKO melakukan operasi pemadaman dengan menggunakan dua aliran breaching dua pacutan dari sumber air pam jentera.
“Kebakaran melibatkan tujuh penghuni rumah terbabit, seorang lelaki warga China ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas manakala seorang lelaki melecur tahap satu,”katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Shahril berkata, seorang wanita Indonesia dan empat lelaki termasuk warga Bangladesh terselamat.
Beliau berkata, api berjaya dikawal kira-kira pukul 11.30 malam dan memastikan kawasan kebakaran selamat sebelum meninggalkan lokasi.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat.
Katanya, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan dan siasatan awal mendapati kebakaran tiada unsur jenayah.-KOSMO! ONLINE