SHAH ALAM – Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbang sebanyak RM1 juta kepada Tabung Selangor Prihatin bagi membantu mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, ini bagi menyokong usaha pemulihan dan pembangunan semula kawasan yang terjejas di lokaliti itu.
Katanya, sumbangan ini turut melibatkan penyertaan aktif anak-anak syarikat serta rakan strategik Kumpulan PKNS.
“Ia mencerminkan semangat solidariti dan usaha bersepadu dalam meringankan beban mangsa serta mempercepatkan proses pemulihan komuniti yang terkesan.
“Bantuan yang disalurkan akan meliputi keperluan barangan asas, kerja-kerja pembersihan kawasan, serta pembinaan semula kediaman dan kemudahan awam yang rosak akibat insiden berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Penyampaian sumbangan itu disempurnakan Mahmud kepada Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin yang disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semasa Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS, hari ini.
Mengulas lanjut, Mahmud berkata, sumbangan ini juga bertujuan untuk memenuhi keperluan mendesak dan meringankan beban keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta harta benda.
Tambahnya, PKNS amat bersimpati dengan kesukaran yang menimpa penduduk Putra Heights.
“Sebagai agensi pembangunan negeri yang komited terhadap kesejahteraan rakyat Selangor, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE