fbpx

Kelemahan Barcelona mula terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARCELONA berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir UCL buat kali pertama sejak 2019. - AFP

DORTMUND – Barcelona mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali pertama sejak 2019, namun kemenangan agregat 5-3 ke atas Borussia Dortmund awal pagi semalam bukanlah satu laluan mudah seperti disangka.

Biarpun membawa bekalan empat gol dari suku akhir pertama, Barcelona dikejutkan dengan tekanan awal Dortmund sebelum tewas 1-3 dalam aksi timbal balik di Signal Iduna Park dengan jaringan sendiri menjadi penyelamat mereka daripada kebangkitan tuan rumah.

“Saya sudah agak perkara seperti ini akan berlaku kerana saya cukup kenal stadium ini. Permainan kami tidak berjalan seperti biasa, dan Dortmund bermain dengan sangat baik,” kata pengendali Barcelona, Hansi Flick.

Dortmund menukar formasi kepada 3-4-2-1 berbanding 4-3-3 sebelum ini, namun ia jelas memberi kesan besar apabila membenarkan Dortmund mencipta lebih banyak peluang berbahaya sepanjang perlawanan.

Kelebihan empat gol tidak lagi menjamin ketenangan buat gergasi La Liga itu yang sudah dua kali dalam tempoh lapan tahun lalu tersingkir selepas mendahului dengan jurang besar, masing-masing ketika menentang AS Roma dan Liverpool.

“Kami harus belajar daripada perlawanan ini. Dortmund telah membongkar kelemahan kami dan kami tidak boleh mengulangi kesilapan ini di separuh akhir,” tambah Flick yang kurang berpuas hati walaupun mara ke separuh akhir.

Perlawanan itu juga mengundang persoalan terhadap status Barcelona sebagai calon juara apabila gaya permainan berisiko tinggi mereka kelihatan mudah digugat oleh pasukan yang bermain agresif dan berdisiplin seperti Dortmund.

Mereka bakal bertemu sama ada Inter Milan atau Bayern Munich di separuh akhir iaitu dua pasukan yang lebih berpengalaman dan Flick perlu memastikan skuadnya tidak sekali lagi terperangkap dalam tekanan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI