KUALA LUMPUR – “DIA sepatutnya pulang pada minggu keempat Ramadan.”
Demikian kata pelawak, Saiful Apek yang mengakui agak kecewa apabila impian untuk beraya bersama Yassin tidak kesampaian kerana sahabat baiknya itu masih ditahan di Arab Saudi.
Menurut Saiful Apek atau nama sebenarnya, Saiful Azam Mohamed Yusoff, 57, Yassin masih belum dapat pulang ke Malaysia kerana beberapa prosedur yang belum selesai.
“Saya rasa sedih sebab sudah menghebahkan dia akan pulang sebelum raya. Ketika itu, saya gembira sangat.
“Tetapi saya difahamkan oleh keluarganya yang terdapat sedikit masalah berkaitan prosedur antara negara seperti tiket dan visa. Selain dia juga perlu ke depo tahanan yang lain.
“Saya tidak tahu secara terperinci, tetapi apa yang boleh saya katakan, insya-Allah dalam masa terdekat dia akan pulang,” kata Saiful.
Sebagai sahabat dan juga anggota kumpulan Senario, Saiful Apek terus sabar menanti kepulangan sahabatnya dan memohon orang ramai berhenti membuat sebarang spekulasi.
“Saya sendiri tidak sabar untuk semua ini berakhir kerana terlalu banyak andaian dan spekulasi di luar sana. Apapun tunggu sahajalah, saat dia sampai di sini saya akan sambut dia.
“Beri dia masa berehat dan saya yakin banyak perkara dia ingin kongsikan. Bagi saya lebih afdal tuan punya badan sendiri yang bercerita apa yang terjadi sebenarnya.
“Mengikut kefahaman saya, di sana mereka menggunakan hukum hudud, jika melakukan kesalahan pasti akan dihukum tetapi dia hanya ditahan. Jadi, saya sendiri tidak tahu masalah sebenarnya,” kongsi Saiful Apek lagi yang ditemui pada tayangan perdana filem 6 Jilake semalam.
Terdahulu, media tanpa mendedahkan sebarang identiti melaporkan seorang pelawak ditahan di Jeddah, Arab Saudi sejak Oktober tahun lalu atas kesalahan memiliki bahan terlarang iaitu dadah jenis ganja.
Pelawak itu dilaporkan sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu.
Hukuman berkenaan dijatuhkan pada November tahun lalu dan berkemungkinan akan dibebaskan lebih awal daripada tempoh ditetapkan kerana berkelakuan baik – HIBGLAM