KUALA LUMPUR – Tular bentuk hidung didakwa netizen berbeza, pelakon Scha Elinnea menegaskan dia hadir ke sebuah klinik kecantikan adalah bagi melakukan rawatan High-intensity focused ultrasound (HIFU) yang meremajakan kulit.
Nafi buat pembedahan, Scha atau nama asalnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, 26, berkata rawatan dilakukan tiada kena-mengena dengan dakwaan segelintir pihak, sebaliknya menghilangkan lemak di bawah dagu.
“Tiada komen sebab saya tidak tahu apa-apa. Langsung saya tak perasaan (video).
“Saya hanya buat HIFU, mesin untuk garis rahang. Saya nak bentukkan (wajah), bukan buat pembedahan pun.
“Saya buat pun untuk hilangkan lemak-lemak. Banyak kali juga buat kerana menggunakan mesin,” katanya kepada Kosmo! Online semasa di Majlis Raya Aidil-Fit-Rizz iQiYI 2025 di EQ Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelakon drama Nuh & Nayla itu berkongsi pandangan peribadi mengenai isu nambah kecantikan diri menggunakan prosedur pembedahan.
“Lain orang, lain pemikiran tetapi lakukan saja cara yang boleh buat kamu bertambah yakin dan merasa senang dengan diri sendiri,” ujarnya ringkas.
Sebelum ini, tular sebuah video dalam TikTok menunjukkan Scha mendapatkan rawatan di sebuah klinik namun bahagian hidungnya yang lebih cantik menjadi perhatian.
Pada tahun lalu, Scha secara terbuka mengakui melakukan pembedahan kosmetik seperti didakwa netizen untuk meningkatkan keyakinan diri lebih-lebih lagi untuk beraksi di hadapan kamera. – KOSMO! ONLINE