KEMELUT rumah tangga pasangan pelakon popular Indonesia Baim Wong dan Paula Verhoeven akhirnya bernoktah apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Pengadilan Agama Jakarta Selatan semalam.
Memetik laporan portal Kompas.com, Paula juga dibuktikan curang dengan kehadiran orang ketiga ketika masih bergelar isteri Baim sebelum ini.
Menurut Hakim Pengadilan Agama Jakarta Selatan iaitu Suryana, perceraian tersebut berlaku selepas Paula terbukti nusyuz, tidak menjaga kehormatan diri dan mengkhianati hubungan suami isteri.
“Sepanjang persidangan, bukti yang disampaikan tentang pertengkaran dalam rumah tangga mereka terbukti benar.
“Permohonan untuk perceraian telah diterima oleh mahkamah,” katanya.
Pihak mahkamah juga mengisytiharkan Paula sebagai isteri yang nusyuz selain permohonannya untuk menuntut nafkah idah dan madiah (nafkah lampau) ditolak.
“Keputusan ini menjadikan Paula sebagai isteri yang nusyuz, yang tidak berhak menerima nafkah idah dan nafkah madiah.
“Dengan terbukti kewujudan pihak ketiga, haknya sebagai isteri yang akan diceraikan ditolak,” ujar Suryana lagi.
Sebelum perceraian ini, Paula menuntut nafkah madiah sebanyak Rp100 juta (RM26,209) setiap bulan, dengan jumlah keseluruhan Rp800 juta (RM209,672) kerana proses perceraian yang berlangsung selama 8 bulan.
Selain itu, Paula turut menuntut nafkah masa iddah sebanyak Rp200 juta (RM52,418) sebulan, dengan jumlah keseluruhan Rp600 (RM157,254).
Mahkamah juga menetapkan hak penjagaan anak pasangan tersebut akan diberikan secara sama rata dengan bergilir-gilir menjaga kedua-dua anak lelaki mereka selama dua minggu sekali.
“Keputusan ini juga menyatakan bahawa kedua-dua pihak akan menjaga anak mereka secara bersama, tanpa sebarang pertikaian,” ujarnya.
Terdahulu, Baim pada 7 Oktober tahun lalu memfailkan cerai terhadap isterinya di Mahkamah Pengadilan Agama Jakarta Selatan, Indonesia.
Dedah Baim, sikap curang isterinya menjadi punca dia memfailkan cerai.
Bagaimanapun Paula menafikan dakwaan itu dan menegaskan tidak pernah berlaku curang terhadap aktor berkenaan.
Untuk rekod Baim dan Paula mendirikan rumah tangga pada November 2018. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Kiano, 3, dan Kenzo yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE