fbpx

Aman Lagenda, Siterra Holding bangunkan perkampungan persaraan di Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ilustrasi grafik Aman Seterra Sanctuary yang akan dibangunkan di Temoyong, Langkawi.

ALOR SETAR – Bina Darulaman Berhad (BDB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Aman Lagenda Sdn. Bhd. berkolaborasi dengan Seterra Holdings Sdn. Bhd. bagi membangunkan perkampungan persaraan antarabangsa di Asia Tenggara.

Kerjasama itu bakal menyaksikan pelancaran perkampungan berinspirasikan islamik pertama Asia Tenggara, Aman Seterra Sanctuary yang akan dibangunkan di kawasan seluas lebih lima hektar di Temoyong, Langkawi bermula tahun depan.

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, projek berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya pada 2028 selari dengan perkembangan Ekonomi Perak, iaitu sektor ekonomi baharu berskala global.

“Pembangunan projek ini dijangka menghasilkan pendapatan melebihi AS$9.1 trillion (RM40.13 trillion) menjelang 2029. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, negara melepasi ambang ‘Masyarakat Menua’ pada 2024, sekaligus mempercepat permintaan untuk perkhidmatan khusus bagi warga emas dan Aman Seterra Sanctuary bersedia menjadi model komuniti persaraan mampan di Asia Tenggara.

“Aman Seterra Sanctuary bakal menjadi Perkampungan Persaraan yang pertama seumpamanya di Malaysia dalam memenuhi keperluan dari seluruh dunia dan pada masa yang sama turut menyediakan perkhidmatan kepada pesara serta warga emas tempatan dengan mengintegrasikan konsep kediaman bebas, bantuan penjagaan dan penjagaan jangka panjang,” katanya.

Raja Shahreen (kiri) dan Rashidi (kanan) menunjukkan dokumen Perjanjian Usahasama merangkap Perjanjian Pemegang Saham sambil disaksikan oleh Pengerusi BDB, Che Had Dhali (dua dari kanan) dan Pengerusi Kumpulan Seterra Group of Companies, M Yusof Ahamad.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Perjanjian Usahasama Merangkap Perjanjian Pemegang Saham Antara Aman Lagenda Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Raja Shahreen dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seterra, Rashidi Yahaya berlangsung di Menara BDB, di sini hari ini.

Ketika ditanya kenapa Langkawi menjadi destinasi projek berkenaan, Raja Shahreen berkata, pulau tersebut yang kaya dengan alam sekitar dan bergelar ‘tempat yang tidak disentuh’ ideal untuk penempatan seumpama itu.

Tambah beliau, projek berkenaan akan turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat termasuk peluang pekerjaan dalam sektor kesihatan, hospitaliti, pembinaan dan peruncitan.

Pembangunan Aman Seterra Sanctuary akan menyediakan fasiliti dan infrastruktur yang lengkap serta memenuhi kehendak serta keperluan yang diperlukan oleh para pesara dan warga emas.

Ia termasuk 780 unit kediaman pangsapuri serta suite dan townhouse yang mesra warga emas, selain memfokuskan kepada kesejahteraan menyeluruh dengan pelbagai fasiliti termasuk kesihatan, ruang sosial, ruang solat dan hiburan serta rekreasi. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI